Pengendali negara, Tan Cheng Hoe, dan jurulatih Vietnam, Park Hang Seo, bersikap waspada mengenai pertemuan ketiga Kumpulan A, Piala AFF di Hanoi esok sambil melabel kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri untuk memenangi perlawanan.

Aksi berdepan skuad Naga Emas itu dilabel ujian paling sukar buat Harimau Malaya dalam merintis laluan ke separuh akhir berdasarkan reputasi lawan yang mara ke perlawanan akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.

Begitupun, Cheng Hoe menyuarakan keyakinan untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

"Saya harap anak buah saya dapat meneruskan momentum dan semangat yang tinggi ketika berdepan Vietnam yang dilabel sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan A," katanya.

Rakan sejawatannya, Hang Seo, enggan mendabik dada dengan mengingatkan keperitan ketika tumbang 2-4 dalam aksi kedua separuh akhir edisi 2014.

"Saya mahu pemain memanfaatkan perlawanan ini untuk memudahkan laluan ke peringkat separuh akhir, jadi kami perlu menang," ujar pengendali dari Korea Selatan itu.

Sementara itu, penyerang negara, Syafiq Ahmad, mengakui teruja untuk sekali lagi menggalas tugas di posisi tengah sungguhpun berdepan tugasan mencabar untuk berdepan Vietnam.

"Tidak disangkal lagi Vietnam merupakan sebuah pasukan yang kuat. Lagipun, mereka kebal di Hanoi.

"Tetapi, jika kami mengikut taktikal jurulatih dan bersatu hati sebagai sebuah pasukan, dengan elemen itu, mungkin akan menjadi rezeki kami untuk meraih kemenangan," katanya.

Jika sebelum ini selesa bergerak di bahagian serangan, Syafiq berdepan keperluan untuk menyesuaikan diri dengan peranan baru secara mendadak, namun bekas tonggak Kedah itu menjelaskan ia bukan alasan untuk tidak mempamerkan rentak terbaik.

"Saya pernah beraksi di posisi tengah tetapi sudah lama saya tinggalkan posisi tersebut.

"Saya anggap ini sebagai cabaran baru meskipun perlu menggalas tugas berat sebagai pemain tengah di pentas sebesar Piala AFF ini.

"Saya perlu ikut arahan dan cuba membantu pasukan mencapai kemenangan," katanya.