Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menambah sejumlah 2,000 keping tiket perlawanan terakhir kumpulan A, Piala AFF 2018 di antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata penyokong Harimau Malaya boleh mendapatkan tiket tersebut dengan harga RM20 (tempat duduk terbuka) di cawangan Al-Ikhsan Sports sahaja manakala pembelian dalam talian di www.tickethotline.com.my dibuka semula hari ini.

Setakat ini, jumlah keseluruhan tiket yang sudah terjual ialah sebanyak 12,000 keping.

“Selain itu, FAM turut mengambil inisiatif tambahan bagi memudahkan penyokong Harimau Malaya membeli tiket dengan membuka kaunter khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, bermula Selasa ini (20 Nov) hingga Khamis (22 Nov), dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

“FAM juga dalam perbincangan dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi mendapatkan kebenaran membuka kaunter jualan tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini bersempena dengan cuti umum Maulidur Rasul bagi memberi lebih pilihan kepada penyokong Harimau Malaya membeli tiket lebih awal.

"Maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas mendapat pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Stuart berkata kaunter tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil akan dibuka seperti biasa pada hari Jumaat (23 Nov) dari 10 pagi hingga 5 petang dan juga pada hari perlawanan, iaitu Sabtu (24 Nov) bermula dari 10 pagi hingga sepak mula perlawanan.

“FAM berharap penyokong Harimau Malaya dapat hadir beramai-ramai dalam perlawanan ini kerana skuad Harimau Malaya memerlukan kemenangan ke atas Myanmar untuk melangkah ke separuh akhir Piala AFF 2018 dan sudah tentu, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan dengan bantuan sorakan padu daripada puluhan ribu penyokong Harimau Malaya,” jelasnya.

-- BERNAMA