TIMOR LESTE 1 MALAYSIA 1

Skuad B-19 negara di bawah kendalian Bojan Hodak hanya mampu seri 1-1 dengan Timor Leste dalam aksi ketiga Kumpulan B Kejohanan Piala AFF B-19 di Surabaya, Indonesia, sebentar tadi.


Keputusan itu menunda hasrat negara untuk menjamin tempat dalam separuh akhir lebih awal.

Timor Leste menggegar gawang negara terlebih dahulu pada minit ke-14, namun anak buah Hodak tenang untuk mencari ruang dan mengimbangi perlawanan selepas 16 minit.

Malaysia meneruskan usaha memburu kemenangan dalam babak seterusnya dan memperoleh peluang melalui Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Begitupun, usaha daripada Timor Leste juga tidak kurang hebatnya untuk kedua-dua pasukan gagal menambah sebarang jaringan.

"Kami melepaskan gol mudah dalam separuh masa pertama tetapi kami segera memperbaiki kesilapan itu.

"Dalam babak kedua, kami bermain lebih baik dengan menghasilkan beberapa peluang, namun gagal dalam penyudah.

"Saya menghadapi masalah untuk melakukan rombakan yang sudah dirancangkan dan saya percaya kami keciciran mata pada hari ini," kata jurulatih negara, Hodak.

Sementara itu, rakan sejawatannya di kem Timor Leste, Kim Shinhwan, berkata: "Hari ini adalah perlawanan berbeza. Fizikal pemain Malaysia lebih besar."