Kemenangan 5-0 Kemboja ke atas Brunei malam tadi umpama amaran buat skuad kendalian Bojan Hodak sambil menyifatkan lawan Malaysia itu dalam Kejohanan Piala AFF B-19 esok sebagai sudah cukup matang daripada segi persediaan.

Di atas kertas, Malaysia memiliki kelebihan berdasarkan kejayaan melangkah ke final selain mengatasi Kemboja menerusi jaringan 2-0, tahun lalu.

Namun, keadaan itu tidak cukup untuk menilai kekuatan Kemboja ketika ini apabila Hodak sendiri mengetahui skuad itu telah dipersiapkan selama dua tahun.

Tegas Hodak, Malaysia memiliki kelebihan individu, namun daripada segi persefahaman dan keserasian sebagai sebuah pasukan, Kemboja berada di kedudukan yang lebih baik.

"Mereka menukar dua atau tiga pemain dan mempunyai beberapa pemain yang boleh membuat perbezaan dalam permainan.

"Apapun, kami mempunyai kualiti individu yang lebih baik. Masalah utama yang kami hadapi adalah kekangan untuk mengadakan latihan bersama sejak pusingan kelayakan di Korea Selatan tahun lalu.

"Kami hanya sempat mengadakan dua kali latihan bersama," kata jurulatih Croatia itu.

Bagaimanapun, Hodak memiliki perancangan untuk mengecewakan Kemboja dengan mempertaruhkan beberapa nama seperti Akhyar Rashid untuk menemui sentuhan berbisa.

"Pertahanan kami tidak boleh memberikan mereka ruang dan bermain secara berdisiplin.

"Apabila menguasai bola, kami perlu bersikap tenang dan bijak menggunakan ruang.

"Untuk itu, khidmat pemain seperti Akhyar Rashid diperlukan dan saya mengenal pasti siapa yang akan mengisi peranan sayap kanan," katanya.