Penjaga gol skuad B-19 negara, Mohd Azri Abdul Ghani, menyifatkan bertembung dengan pasukan tuan rumah yang dikelilingi penyokong seperti Indonesia benar-benar menguji mentalnya sebagai pemain di atas padang.

Situasi itu mirip kepada aksi separuh akhir bertemu Myanmar dalam kejohanan yang sama tahun lalu.

Namun, ditambah dengan pengalaman dibaling pelbagai objek sebaik selesai perlawanan separuh akhir Kejohanan AFF B-19 di Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya malam tadi, itu adalah sesuatu yang baru buat anak buah Bojan Hodak.

Ekoran tidak puas hati dengan keputusan aksi semalam menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 yang gagal memihak kepada tuan rumah, skuad negara terpaksa melewati pengalaman cemas apabila dibaling dengan pelbagai objek di tengah padang.

"Ini merupakan kali pertama kami dicemuh oleh penyokong lawan dan ia menjadi pengalaman yang baru," kata Azri.

"Ia adalah satu tindakan yang kurang profesional dan adat menang kalah dalam permainan perlu diterima," kata pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Adegan lampu limpah terpadam sejurus sebelum bermula babak penentuan penalti juga umpama cubaan pihak tuan rumah mengganggu tumpuan pemain Malaysia di atas padang.

Semua dugaan itu dibalas dengan kemenangan cukup bermakna oleh anak-anakj buah Hodak di Gelora Delta Sidoarjo.

Selepas terikat 1-1 dalam masa permainan sebenar, Indonesia ternyata bukan lawan buat Malaysia apabila gagal menyempurnakan tiga sepakan penalti yang sekali gus membawa kepada kemenangan 3-2 skuad B-19 negara untuk mengisi slot final bertemu Myanmar, malam esok.