MALAYSIA 1 MYANMAR 0

Jaringan tunggal Shivan Pillay Asokan ke atas Myanmar memastikan skuad negara menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Piala AFF B-19 di Surabaya, Indonesia, sebentar tadi.


Jaringan itu amat bermakna untuk Malaysia mengungguli Kumpulan B selepas melakar dua lagi kemenangan -- ke atas Kemboja dan Brunei -- selain seri dengan Timor Leste, kelmarin.

Sepanjang 45 minit awal, Malaysia menguasai permainan dan mencetak jaringan menerusi tandukan Shivan di hadapan gawang lawan yang berpunca daripada sepakan penjuru Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-18.

Myanmar, bagaimanapun, tidak berdiam diri dan kerap mengasak untuk mencipta peluang mengikat kedudukan.

Myanmar tidak berputus asa dan terus menguji kubu negara, namun segalanya dapat dipatahkan dengan baik oleh benteng negara.

Malaysia juga tidak kurang hebatnya, begitupun masalah ketumpulan di jentera serangan masih lagi menghantui negara untuk menambah jaringan sehinggalah wisel penamat.

"Ini perlawanan keempat kami dalam tempoh tujuh hari, jadi sudah tentunya sukar (untuk pemain) daripada segi fizikal.

"Saya tidak faham kenapa perlawanan ini tidak dilangsungkan pada waktu malam. Dalam babak pertama, aksi yang dipamerkan langsung tidak berkualiti.

"Kedua-dua pasukan menderita dan secara keseluruhan, kami mencipta peluang lebih baik daripada mereka serta memiliki pemain yang lebih cergas berikutan rombakan pasukan," kata Hodak.

"Anak buah saya kelihatan agak malas hari ini selain mengambil mudah terhadap Malaysia.

"Malaysia sebuah pasukan mantap tetapi hanya bertahan serta berdisplin.

"Mereka hanya mengintai serangan balas, oleh itu kami hanya membenarkan mereka melakukan sepakan percuma dan penjuru," ujar jurulatih Myanmar, Myo Hlaing Win, dengan anak buahnya merebut tangga kedua kumpulan.

Bagi wira negara, Shivan, jaringan yang dilakarnya itu adalah hasil kerjasama sepasukan.

"Saya sentiasa berasa gembira setiap kali dapat menjaringkan gol buat negara.

"Kami bermain sebagai sebuah pasukan, mempamerkan disiplin taktikal dan saya gembira kami mara ke separuh akhir selain teruja untuk bertemu Indonesia (Khamis ini)," kata Shivan.