Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, menganggap tempias semangat kejayaan negara kelahirannya, Croatia, yang mara ke final Piala Dunia, mampu berulang ke atas pasukan kendaliannya menjelang aksi dengan Indonesia malam ini bagi perebutan slot final Piala AFF B-19.

Ia bukan sebuah perbandingan yang wajar, namun Hodak mengharapkan skrip kejayaan untuk anak buahnya mampu mirip kejayaan pasukan negara kelahirannya itu.

"Saya harap anak buah saya dapat mengikuti jejak Croatia pada malam ini.

"Sudah tentu, semua orang menonton perlawanan Piala Dunia Russia. Saya mengarahkan pemain saya masuk tidur awal tetapi saya tahu ada antara barisan kejurulatihan yang berjaga malam untuk menonton perlawanan Piala Dunia, jadi ia adalah normal.

"Pertemuan dengan Indonesia akan menjadi perlawanan yang sukar berikutan kehadiran penyokong tuan rumah.

"Barisan pemain Indonesia pasti akan didorong oleh kehadiran penyokong," kata Hodak.

Sudah pasti ia akan menjadi hari yang lebih bermakna untuk pengendali itu dengan syarat kekangan 90 minit anak buahnya di Gelora Delta Sidoarjo berakhir dengan kejayaan buat Malaysia

Menjelang aksi penting skuad B-19 tahun hari ini, Hodak sekali lagi membuat perubahan daripada segi susunan pemain.

Shaiful Alias kembali dalam kesebelasan utama dengan tanggungjawab selaku kapten bersama Anuar Ibrahim dan Nabil Hakim di bahagian pertahanan.

Sementara itu, K. Thivandran dan Nizaruddin Jazi kembali mendapat tempat di bahagian tengah selain Hadi Fayyadh Abdul Razak mengetuai jentera serangan negara.

"Dalam kejohanan ini, ini perlawanan kelima dalam tempoh sembilan hari.

"Tiada pemain yang boleh bertahan dan setakat ini, rombakan yang dibuat memberikan hasil.

"Kini, saya memiliki beberapa pemain yang cergas," katanya.