Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, kurang senang dengan prestasi semasa anak buahnya dalam pertemuan dengan Brunei semalam manakala pemain tengah negara, Mohd Zafuan Azeman, pula tetap menaruh kepercayaan terhadap prestasi mereka, terutama menjelang aksi ketiga Kejohanan Piala AFF B-19 bertemu Timor Leste, esok.

Gambaran cukup jelas itu disuarakan Hodak selepas barisan keduanya gagal menepati ramalan, khususnya membabitkan prestasi mereka di atas padang ketika bertemu Brunei.

Secara jelas, ia mempengaruhi pemilihan pemain untuk aksi ketiga bertemu Timor Leste yang disusuli Myanmar bagi baki aksi Kumpulan B.

"Saya berasakan aksi menentang Brunei berbeza manakala aksi kami tempoh hari lebih baik.

"Dalam kalangan barisan yang ada, tiga daripada mereka tampil dalam aksi pertama dan beberapa pemain lain pula jarang diturunkan di peringkat liga," kata Hodak di Surabaya, Indonesia.

Cabaran itu terkesan di hati Zafuan yang diturunkan semalam.

Dia enggan akur dengan keadaan itu, sebaliknya yakin dalam tempoh masa yang tinggal sebelum bertemu Timor Leste, dia mampu mengubah pendirian Hodak apabila melibatkan prestasinya.

"Semua pemain setaraf, cuma yang membezakan kami adalah prestasi dalam perlawanan.

"Insya-Allah saya akan bermain dalam perlawanan seterusnya dan jika tidak terpilih (dalam kesebelasan utama) sekalipun, saya akan terus berusaha merebut tempat," katanya.

Sementara itu, beberapa jam sebelum aksi dengan Malaysia, skuad Brunei dikejutkan dengan berita 14 pemainnya mengalami keracunan makanan.

Jumlah itu termasuk barisan utamanya, sekaligus mengganggu perancangan awal untuk menghalang Malaysia mengutip mata penuh.

Difahamkan, semua 14 pemain yang terlibat sudah menjalani rawatan di hospital terdekat dan pengambilan makanan harian mereka hanya berlaku di hotel penginapan rasmi semata-mata.

"Selepas menentang Timor Leste, 14 pemain saya dikejarkan ke hospital.

"Seorang daripada pemain saya terpaksa dikeluarkan dalam perlawanan hari ini ekoran mengadu sakit perut," kata ketua jurulatih Brunei, Takao Fujiwara.

Menurutnya, Brunei beraksi dalam keadaan pasukan itu hanya menggunakan mana-mana pemain yang ada sahaja dan ternyata, nasib tidak menyebelahi mereka.

"Pemain saya sudah kepenatan, namun perlawanan ini mustahak buat bola sepak Brunei.

"Pemain menikmati aksi ini dan tetap mempamerkan tumpuan tinggi sehingga tamat perlawanan," ujarnya.