Pemain skuad B-19 negara, Akhyar Rashid, terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam separuh akhir Kejohanan Piala AFF B-19 apabila di hantar pulang ke Malaysia ekoran kecederaan.

Pemain Kedah berkenaan diberi lampu hijau untuk pulang ke tanah air oleh pengendali, Bojan Hodak, bagi menjalani rawatan lanjut terhadap kecederaan bahunya selepas menang 1-0 ke atas Myanmar dalam aksi terakhir kumpulan, hari ini.

Meskipun berat hati, Akhyar sedar tindakan drastik Hodak itu demi kebaikan kariernya pada masa depan.

"Hodak menyuruh saya pulang untuk merawat kecederaan bahu ini dan sempat berpesan agar saya tidak patah hati. Dia menegaskan masih bergantung harapan terhadap khidmat saya pada masa akan datang.

"Walaupun kecederaan bahu ini nampak ringan, Hodak bimbang ia melarat.

"Dia juga enggan saya bersedih terlepas aksi separuh akhir," katanya.

Sehubungan itu, Akhyar berharap semangat rakan seperjuangannya terus berkobar-kobar dalam kempen di Surabaya itu untuk menghadapi Indonesia dalam separuh akhir, Khamis ini.

"Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan yang lain ketika menentang pasukan tuan rumah, Indonesia.

"Saya harap mereka buat yang terbaik dan dapat membanggakan rakyat Malaysia," katanya.