Penyerang skuad B-19 negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, bertekad mencetak jaringan awal buat Malaysia bagi mencari momentum untuk menepati sasaran 'kemenangan pertama' menjelang aksi dengan Kemboja dalam Kejohanan Piala AFF B-19 di Stadium Gelora Joko Samudro, Surabaya, petang ini.

Hadi enggan menunggu lama untuk Malaysia mendapatkan jaringan pendahuluan dengan menegaskan tanggungjawab itu tergalas di bahunya selaku penyerang negara.

Pemain tinggi lampai itu mengakui dia amat mengharapkan aksi dengan Kemboja mampu disudahkan dengan jaringan ketiganya di peringkat antarabangsa selepas menyumbang dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Indonesia dalam pusingan kelayakan Piala AFC B-19, tahun lalu.

"Kami perlu mencari gol awal bagi melonjakkan keyakinan kami. Ia akan membolehkan kami lebih yakin dan bersemangat.

"Saya mahu perlawanan ini menjadi medan untuk kami membina momentum kemenangan," kata penyerang Johor Darul Ta'zim II (JDT) itu.

Kemboja melakar kemenangan besar 5-0 ke atas Brunei dalam aksi pertama mereka kelmarin, namun itu tidak sedikitpun membuat pemain kelahiran Kuala Lumpur berkenaan gentar.

Sebaliknya, dia menganggap Kemboja yang memiliki keampuhan di bahagian tengah mampu dipatahkan dan hal itu sudah pun berada dalam perancangan utama jurulatih, Bojan Hodak, sejak dua hari lalu.

"Kalau Kemboja kuat di bahagian tengah, maka kami perlu fokus di bahagian itu untuk mematahkan serangan mereka. Kami perlu memadatkan bahagian tengah.

"Semua pemain perlu fokus dan memberikan komitmen 100 peratus," katanya lagi.