TAMPINES ROVERS 0 JDT 0

Hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mencuri tiga mata di Stadium Jalan Besar lebur selepas sekadar mencatat keputusan seri 0-0 ketika bertemu wakil Singapura, Tampines Rovers, dalam aksi Piala AFC, sebentar tadi.


Beraksi di tempat lawan, JDT yang kini di bawah kendalian Raul Longhi buat sementara susulan perletakan jawatan Ulisses Morais bulan lalu, turun dengan misi mengutip mata penuh setelah tewas 0-2 dalam aksi kedua ketika menentang wakil Vietnam, Song Lam Nghe An, minggu lalu.

Mempertaruhkan Ahmad Hazwan Bakri, Syafiq Ahmad dan Darren Lok di jentera serangan, JDT terus melancarkan serangan sejak wisel permulaan ditiupkan, namun ketumpulan barisan depan menyaksikan pelawat buntu mencari gol pembukaan.

Selepas separuh masa pertama tampak hambar, juara edisi 2015 itu hampir memecah kebuntuan ketika babak kedua berusia empat minit menerusi Amirulhadi Zainal tetapi percubaannya tepat ke dakapan penjaga gol Tampines, Syazwan Buhari.

Sepakan percuma pemain tengah, Safiq Rahim, pada minit ke-61 juga hampir-hampir meletakkan JDT di depan, namun walaupun Aidil Zafuan Abdul Razak bijak mencari ruang untuk melakukan tandukan, sekali lagi Syazwan bertindak cemerlang menafikannya.

Walaupun JDT menguasai hampir keseluruhan perlawanan, namun tuan rumah tetap kebal mengekang gawang daripada dibolosi dan kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel penamat.

JDT bakal melayani kunjungan Tampines dalam perlawanan keempat Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada 14 Mac ini.


Kredit imej: FACEBOOK Johor Southern Tigers