Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberi kelulusan kepada Felda United beraksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dalam perlawanan Piala AFC 2017 berdepan Tampines Rovers, 19 April ini.

Setelah menunggu selama seminggu, akhirnya pihak pengurusan Felda United boleh tersenyum lega apabila permohonan mereka diterima oleh AFC, semalam.

Setiausaha Agung Felda United, Zulkarnain Muhammad, berkata kelulusan itu berdasarkan maklum balas positif pihak AFC selepas membuat tinjauan hotel yang dicadangkan di Gambang yang memeuhi kemudahan minimum ditetapkan.

Malah, Felda juga akan beraksi pada sebelah malam dengan sepak mula bermula pada jam 8.45 malam

"Kami faham dengan arahan AFC yang tidak membenarkan kami beraksi di Jengka atas faktor-faktor penginapan dan sebagainya.

"Selepas kami membuat rayuan, akhirnya Alhamdulilah AFC membenarkan kami beraksi di laman sendiri," katanya.

Sementara itu, Zulkarnain mengesahkan Felda sudah ada padang latihan sendiri di Bangi yang bakal digunakan pada pertengahan bulan ini.

"Bila adanya padang latihan, senang untuk pemain kami berlatih.

"Sebelum ini, kami menyewa padang di BSN dan kadang-kala keadaan padang tidak menentu. Sudah pasti dengan adanya padang latihan sendiri, prestasi pasukan akan meningkat," tambahnya.

Malah, padang sintetik yang digunakan mempunyai ciri sama yang digunakan di Jengka.