BOEUNG KET ANGKOR 0 JDT 3

Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih kemenangan ketiga dalam saingan Kumpulan F, Piala AFC selepas menewaskan Boeung Ket Angkor 3-0 di Stadium Olimpik Kebangsaan, Phnom Penh, malam ini.


Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk memburu gol pertama apabila Muhamad Safawi Rasid melakukan penyudah sempurna yang menewaskan penjaga gol lawan, Sou Yaty, pada minit kesembilan.

Safawi, yang membuat larian menarik sambil menerima hantaran jauh daripada Nazmi Faiz Mansor, tidak mempunyai masalah mengelirukan Yaty dengan mencari ruang untuk melakukan rembatan.

Nazmi beraksi cemerlang pada malam ini apabila kemudiannya menjaringkan gol kedua JDT dengan rembatan deras ketika keadaan kelam kabut di depan gawang lawan.

Sebelum rehat, JDT sepatutnya boleh menambah satu lagi gol apabila dihadiahkan sepakan penalti akibat R. Gopinathan dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Malangnya, sepakan yang diambil Azamuddin Akil diselamatkan Yaty yang melayangkan badan ke sebelah kanannya.

Kembali dari bilik persalinan, JDT tidak menunjukkan sebarang pengenduran tetapi kekal bernafsu untuk mencari jaringan tambahan.

Tetapi peningkatan aksi kelab Kemboja itu turut membantu menggagalkan usaha 45 minit kedua JDT sehinggalah Gabriel Guerra muncul melakukan jaringan pada masa kecederaan.

JDT kini berada di tangga kedua Kumpulan F, dua mata di belakang Global FC, sementara Boeung Ket Angkor di tempat ketiga dan Magway FC keempat.