JDT 3 MAGWE FC 1

Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar kebangkitan selepas ketinggalan satu jaringan untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas Magwe FC dalam saingan peringkat kumpulan Piala
AFC, sebentar tadi.


Pasukan pelawat membuat kejutan seawal minit kedua perlawanan di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin apabila tandukan pemain tengah, Kyaw Swar Linn, berjaya menewaskan penjaga gol, Haziq Nadzli.

Tersentak, JDT kembali mengatur langkah mencari gol penyamaan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-15 menerusi rembatan Gabriel Guerra.

Lima minit kemudian, JDT sekali lagi melakar serangan ke arah kubu Magwe, dengan kapten pasukan, Safiq Rahim, berjaya melakukan hantaran silang mencari Guerra, namun gagal disempurnakan oleh pemain kelahiran Argentina itu.

JDT terus menrencanakan serangan menerusi gerakan pantas yang disertakan beberapa hantaran pendek sebelum Safiq melepaskan percubaan dari luar kotak penalti, yang bagaimanapun dapat diselamatkan oleh penjaga gol lawan, Kyaw Zin Phyo.

Magwe turut terlepas peluang untuk menggandakan jaringan selepas percubaan Cho Tun sekadar melewati palang gol pada minit ke-40.

Kelab dari Myanmar itu memperketatkan barisan pertahanan mereka sejurus perlawanan bersambung dalam babak kedua.

Pada minit ke-50, Aidil Zaquan berjaya melakukan tandukan, namun mudah diselamatkan Zin Phyo.

Selang sembilan minit kemudian, The Southern Tigers mendahului perlawanan sekali lagi menerusi Guerra.

Ternyata jaringan tersebut memberikan keselesaan buat JDT untuk menguasai perlawanan dan pada minit ke-78, Guerra melengkapkan hatriknya selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti.

Kemenangan ini membenarkan JDT layak ke pusingan kalah mati selepas menamatkan saingan Kumpulan F di tangga kedua di belakang Global FC.

Sementara itu, Felda United menutup kempen saingan Piala AFC Kumpulan G dengan kekecewaan apabila tumbang di tangan kelab handalan Vietnam, Hanoi FC, 4-1 di Stadium My Dinh di Hanoi.