Hajat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mara ke perlawanan akhir Piala AFC zon Asia Tenggara tidak kesampaian apabila dimusnahkan oleh wakil Filipina, Ceres-Negros FC, malam ini.

Dalam aksi di Bacolod City itu, perlawanan berkesudahan 4-4 secara agregat, namun keputusan berpihak kepada Ceres-Negros melalui peraturan gol di tempat lawan.

JDT membawa bekalan tipis dalam aksi pertama -- merakamkan keputusan 3-2 di Larkin -- sekaligus menjadikan aksi kedua pada malam ini semakin menarik.

Saingan sengit ditampilkan kedua-dua pasukan yang memasang hajat tinggi untuk menempah slot ke final zon Asia Tenggara. Namun, Ceres-Negros tampak lebih berbahaya sejak awal permainan lagi dengan rentak serangan agresif.

Bagaimanapun, gol pembukaan tuan rumah hanya muncul pada minit ke-26 menerusi sentuhan Kota Kawase.

Pemain pertahanan itu menghulurkan kakinya di depan gawang Harimau Selatan yang dikawal Farizal Marlias sebelum menyempurnakan situasi sepakan percuma itu.

Tersentak dengan situasi itu, JDT -- juara edisi 2015 -- cuba bangkit menyamakan kedudukan, namun gol tunggal itu menjadi pemisah sebelum aksi bersambung pada babak kedua.

Anak buah Benjamin Mora akhirnya mengikat kedudukan menerusi larian deras Gabriel Guerra pada minit ke-65 untuk mengembalikan kelebihan 4-3 secara agregat buat JDT.

Begitupun, Ceres-Negros yang sebelum ini pernah diuji Felda United di peringkat kumpulan, terus menguasai perlawanan dengan merancang gerakan ke arah kubu lawan.

Usaha berterusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh penyerang kelahiran Sepanyol, Fernando Rodriguez, ketika permainan memasuki masa kecederaan.

Keputusan pengadil itu mencetuskan ketegangan di antara kedua-dua pasukan sehingga Farizal dilayangkan kad merah.

Dengan kemenangan ini, Ceres-Negros menempah pertemuan dengan Home United yang terlebih dahulu menyingkirkan Global Cebu FC.

Kredit imej: JOHOR Southern Tigers