Cristiano Ronaldo, Lionel Messi serta penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon, dinamakan sebagai finalis akhir oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) bagi merebut anugerah Pemain Terbaik Tahunan Lelaki UEFA untuk musim 2016/17.

Sebelum ini anugerah tersebut dikenali dengan nama Pemain Terbaik Eropah dan Ronaldo merupakan pemenang pada tahun lalu manakala Messi pernah memenanginya sebanyak dua kali.

Andres Iniesta dan Franck Ribery juga antara nama lain yang pernah meraih trofi tersebut.

“Senarai akhir tiga pemain telah dipilih hasil daripada undian 80 jurulatih yang bertanding di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) serta Liga Europa pada musim lalu, bersama-sama 55 wartawan sukan yang dipilih oleh kumpulan Media Sukan Eropah (ESM), mewakili setiap ahli persatuan UEFA,” kata kenyataan daripada wakil UEFA.

Ronaldo memacu kejayaan Real Madrid pada musim lalu selepas menjuarai LaLiga serta UCL sebelum mengesahkan kejuaraan Piala Dunia Kelab dan Piala Super Eropah sementara Buffon meraih status juara Serie A dan Coppa Italia buat kali ketiga berturut-turut.

Messi diberikan penghormatan untuk turut berada dalam senarai akhir selepas berjaya menjulang trofi Copa Del Rey dan muncul sebagai penjaring terbanyak LaLiga musim lepas.

Antara nama lain yang disenaraikan dalam 10 terbaik adalah Toni Kroos, Luka Modric, Kylian Mbappe dan Zlatan Ibrahimovic.