Sergio Ramos tidak mempunyai perancangan mengikuti rakan sepasukan Sepanyol, Gerard Pique, untuk bersara dari pentas antarabangsa selepas Piala Dunia 2018 dan menegaskan bahawa dia masih mempunyai banyak tahun lagi di depan.

Bintang Real Madrid itu mencecah usia 31 tahun hari ini tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda perlahan apabila dia terus menjadi pemain penting di peringkat kelab dan antarabangsa.

Ramos dijangka bermain bersama Sepanyol untuk menentang Perancis dalam perlawanan persahabatan di Paris, awal pagi nanti, dan akan membuat penampilan ke-142, sambil rekod penampilan Iker Casillas adalah 167.

Pasangan bek tengahnya, Pique, tidak akan bermain selepas ini apabila mendedahkan rancangan untuk mengundurkan diri daripada pentas antarabangsa selepas Piala Dunia tahun depan.

"Saya berada di pertengahan kerjaya saya," katanya dalam sidang media.

"Saya ada beberapa tahun lagi untuk bermain di tahap yang baik. Setiap musim saya menetapkan semula diri saya bermula dari awal, tidak berasa selesa dengan apa yang saya sudah ada.

"Selagi saya terus mahu menang, dalam pasukan kebangsaan dan kelab, saya akan terus bermain. Saya berharap ia adalah selama mana mungkin -- saya lihat (bersara) ini pada masa akan datang."

Individu yang berharap mendapat manfaat daripada beberapa tahun dimiliki Ramos adalah jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui, yang tidak sabar untuk melihat pasukannya bermain dengan bebas, awal pagi nanti, dengan menegaskan mereka bukan hanya mahu menghalang ketua pengancam Perancis seperti Antoine Griezmann.

"Ayuh kita bermain dengan hanya memikirkan tentang kita," katanya. "Kami amat menghormati Perancis, tetapi perkara yang paling penting adalah untuk mengekalkan gaya, bola sepak kami.

"Kami sentiasa menghadapi perlawanan dengan penuh yakin. Kami sedar kekuatan Perancis, tetapi kami ada peluang kami, kami boleh bermain dengan baik."

Perlawanan ini juga perlu diberi perhatian kerana ia akan menggunakan teknologi video buat kali pertama di Perancis, dan ketika Lopetegui berasakan ia adalah satu langkah positif, dia percaya pegawai perlawanan perlu mencari keseimbangan semasa menggunakannya.

"Teknologi ini dialu-alukan, tetapi ia perlu digunakan dalam sukatan yang betul supaya ia tidak kehilangan kesegaran dan tarikan," katanya.