Phil Foden meledak dua jaringan ketika membantu Manchester City melakar kemenangan 4-1 ke atas Newport County dalam saingan Piala FA, namun menjelaskan permukaan padang di Rodney Parade adalah yang paling teruk.

Skuad pimpinan Pep Guardiola itu gagal menjaringkan sebarang gol dalam babak pertama sebelum Leroy Sane membuka jaringan enam minit selepas perlawanan bersambung.

Dua gol Foden menyusul di antara satu jaringan penyerang tuan rumah, Padraig Amond, sebelum Riyad Mahrez melengkapkan kemenangan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

"Kami mempamerkan sikap profesional di atas padang dan sentaisa cuba menggerakkan bola dan akhirnya ia membuahkan hasil buat City," kata Foden.

"Sejujurnya, ini merupakan permukaan padang paling teruk pernah saya beraksi."

"Perkara paling penting ialah kami mendapatkan keputusan yang diingini," kata Mahrez.

"Padang kurang baik tetapi kami berusaha untuk meraih kemenangan. Semua orang gembira untuk melangkah ke suku akhir."

Agenda seterusnya buat City adalah kunjungan berdepan Schalke untuk Liga Juara-Juara (UCL) sebelum berdepan Chelsea dalam final Piala EFL.

Mahrez, bagaimanapun, menepis soalan mengenai kebarangkalian pasukannya untuk menyapu bersih setiap kejuaraan musim ini.

"Kami boleh melupakan Piala FA dan memberikan tumpuan untuk saingan UCL.

"Kami cuba menghadapi perlawanan demi perlawanan. Berfikir jauh mampu membawa padah buat kami."