Ketua jurulatih sementara skuad B-19 negara, Brad Maloney, mengharapkan 34 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat menjelang Kejohanan AFF B-18 di Vietnam, bulan depan, akan segera menyesuaikan diri dengan falsafah bola sepak yang akan diterapkannya.

Falsafah itu bersandarkan DNA bola sepak Malaysia seperti yang ditekankan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) -- menerapkan cara permainan menyerang dan bertahan sebagai satu pasukan dan memulakan gerakan dari bawah.

Justeru, pemain yang dipanggil perlu berupaya untuk bermain mengikut acuan yang turut diterapkan dalam skuad B-23 dan senior kebangsaan itu.

"Amat jelas, mereka perlu menyesuaikan diri dengan cara permainan dan falsafah kami.

"Apa yang mahu kami lakukan ialah memastikan mereka bermain dengan cara bola sepak baru yang menarik berdasarkan penguasaan bola.

"Selepas kami bertemu mereka dalam sesi latihan, kami akan menilai siapa yang bersesuaian.

"Ia merupakan kunci utama proses pemilihan," katanya.

34 pemain itu akan menjalani latihan pusat selama 15 hari di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Sabtu ini bagi memilih 23 pemain terbaik untuk dibawa ke Vietnam.

Meskipun ia kali pertama Maloney mengendalikan skuad kebangsaan, bekas pemain Australia itu optimis barisan muda negara mampu mempertahankan kejuaraan itu, yang dimenangi di Indonesia tahun lalu.

"Kami mahu menjadi kompetitif dan berjaya.

"Kami juga mahu menjadikannya sebagai persediaan untuk menghadapi Kejohanan AFC.

"Ia akan menjadi persediaan yang baik untuk menghadapi Kejohanan AFC," tambahnya.