Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menyifatkan kejayaan skuad B-23 kebangsaan mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China baru-baru ini turut berpunca daripada saingan Liga Malaysia yang kini lebih kompetitif.

Bagi Khairy, beberapa pemain utama skuad B-23 yang tampil dengan aksi cemerlang bersama pasukan negara menjadi bukti saingan domestik kini lebih berkualiti.

Beliau juga memberi jaminan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia menghulurkan bantuan serta sokongan kepada pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu yang kini fokus kepada Kejohanan AFC B-23 pada 2020 yang juga menjadi saingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kami akan wujudkan perancangan terbaik di mana kami boleh membantu daripada segi sains sukan dan sebagainya untuk menjadi khidmat sokongan.

"Anda perlu melihat kepada seluruh sistem, liga menjadi lebih baik. Apabila liga menjadi lebih baik, jelas sekali pemain-pemain akan turut berkembang,” katanya.

Khairy turut optimis skuad B-16 negara yang juga generasi pertama pemain dari Pelan Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) kendalian Lim Teong Kim sedia memberikan cabaran dalam Kejohanan AFC B-16 tahun pada September ini dalam misi ke Piala Dunia B-17 tahun depan.

“Dalam aksi bertemu Jepun baru-baru ini, mereka tampak sedikit gugup. Saya ada berbincang dengan Teong Kim dan dia menjelaskan bahawa cabaran terbesar yang dihadapi oleh pemain-pemain bawah 16 tahun negara adalah persiapan mental.

“Ia perlu agar mereka menjadi lebih yakin dan tidak terlalu gemuruh setiap kali turun beraksi dengan pasukan-pasukan yang lebih hebat di atas kertas. Secara teknikal, mereka sangat bagus,” katanya lagi.