Pemain Manchester United yang kini dipinjamkan ke Valencia, Andreas Pereira, tidak bercadang untuk segera kembali ke Old Trafford dan mahu menamatkan musim ini di Sepanyol.

Pemain berusia 22 tahun itu telah menandatangani kontrak baru sehingga 2019 sebelum dipinjamkan ke Mestalla, September lalu.

Laporan baru-baru ini mengatakan bahawa United mahu memanggil pulang pemain dari Brazil itu, namun Pereira lebih berminat untuk kekal beraksi dalam LaLiga.

"Saya berada di sini dan mahu kekal. Saya berasa bagus kerana bermain dengan lebih baik dan mahu memenangi trofi bersama Valencia.

"Kami sangat gembira dapat melayakkan diri ke suku akhir Piala Raja Sepanyol dan akan cuba ke final," kata Pereira kepada Superdeporte.

Musim ini, Pereira telah beraksi dalam kesemua 16 aksi liga buat Valencia dan membarisi kesebelasan utama dalam lima perlawanan terakhir.

Secara keseluruhan, dia mencatatkan satu gol dan lima bantuan jaringan dalam semua kejohanan.