Generasi baru Perancis muncul menandakan mereka sebagai "kuasa akan datang dalam bola sepak antarabangsa", menurut bos Arsenal, Arsene Wenger.

Wenger mengurus beberapa pemain utama pada tempoh emas terakhir Perancis, termasuk Thierry Henry dan Patrick Vieira, dengan Les Bleus disusuli kejayaan Piala Dunia 1998 dan Euro 2000.

Kapten mereka dalam tempoh itu, Didier Deschamps, kini mengetuai sebuah skuad yang dibentuk baik untuk mengulangi zaman kegemilangan itu walaupun mereka mengalami kekecewaan pahit dengan kekalahan di laman sendiri kepada Portugal dalam perlawanan akhir Euro 2016.

Namun, pembangunan berterusan bakat muda seperti bintang Monaco, Kylian Mbappe, membuat Deschamps berasa malu dengan kemampuan, yang Wenger percaya tidak lama lagi boleh menimbulkan iri hati dalam dunia bola sepak.

"Saya yakin, mungkin kerana saya berbangsa Perancis, tetapi pada masa ini pemain terbaik di dunia adalah di Perancis," katanya kepada beIN Sports menjelang pertemuan negaranya dengan Sepanyol dalam perlawanan persahabatan di Stade de France, awal pagi nanti.

"Apabila anda meletakkan diri anda di tempat Deschamps ia adalah satu mimpi ngeri untuk memilih 20 pemain utama terbaik dan kemudiannya 11 terbaik.

"Itu bukan satu masalah pada masa ini di Sepanyol. Jerman juga masih ada tetapi mungkin sedikit kurang kuat berbanding skuad (menang Piala Dunia 2014) di Brazil.

"Bagi saya, kuasa akan datang dalam bola sepak antarabangsa adalah Perancis. Anda mencari pemain berkualiti tinggi di Perancis sekarang seperti anda lakukan di Brazil 20 tahun lalu.

"Dari setiap sudut anda boleh mencari pemain yang boleh bermain untuk pasukan kebangsaan. Apabila anda melihat pemain seperti (Tiemoue) Bakayoko dan (Alexandre) Lacazette yang tidak dipilih -- ia tidak berlaku 10 tahun lalu.

"Itulah sebabnya saya fikir bahawa Perancis mempunyai potensi yang luar biasa dan mungkin boleh mengambil alih."