Dua pemain Manchester United, Paul Pogba dan Anthony Martial, digugurkan pasukan kebangsaan Perancis daripada beraksi menentang Belanda dan Uruguay ekoran kecederaan.

Pogba tidak diturunkan ketika kekalahan 1-3 United kepada Manchester City kelmarin disebabkan kecederaan paha manakala Martial --yang menjaringkan gol tunggal united dalam perlawanan itu -- mengalami kecederaan pangkal paha.

Kedua-dua pemain itu melaporkan diri di Pusat Latihan Clairefontaine semalam, namun selepas mendapatkan nasihat daripada pasukan perubatan Les Blues, mereka dihantar pulang ke Manchester bagi mendapatkan rawatan susulan.

Ketua jurulatih, Didier Deschamps, menggantikan pasangan itu dengan pemain tengah Tottenham Hotspur, Moussa Sissoko dan penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette.

Martial menunjukkan persembahan yang baik sebelum ini dengan menjaringkan enam gol dalam tujuh penampilan terakhir bersama United.

Perancis akan menjuarai peringkat kumpulan saingan Liga Negara-Negara Eropah andai meraih keputusan sekurang-kurangnya seri berdepan Belanda di Amsterdam, Jumaat ini, sebelum bertemu Uruguay dalam aksi persahabatan di Paris, empat hari selepas itu.