Pengurus Itali, Roberto Mancini, berang dengan kelakuan penyokong yang mengejek Leonardo Bonucci ketika perlawanan menetang Portugal di Milan, awal pagi tadi.

Bonucci, 31, menamatkan musim lalu bersama AC Milan sebelum kembali ke Juventus, Ogos lalu.

Perpindahan semulanya ke Turin jelas memberi kesan kepada sebahagian penyokong yang menyerangnya ketika aksi Liga Negara-Negara Eropah itu.

Mancini mengkritik penyokong dengan menyatakan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kepada seseorang yang mewakili negara.

"Penyokong melakukan kesilapan besar dengan mengejek Bonucci.

"Protes seperti itu tidak sepatutnya berlaku dalam perlawanan peringkat antarabangsa.

"Saya harap perkara itu tidak berulang kerana apabila pemain mewakili Itali, penyokong perlu memberikan sokongan tanpa berbelah-bahagi," katanya.

Itali akan menamatkan saingan Kumpulan 3, Liga A di tangga kedua dengan pendahulu pasukan, Portugal, layak ke pusingan akhir.