Kelab Penyokong Ladies Kedahan dan Kelab Penyokong Daerah Sik membuat persediaan tersendiri untuk aksi final kali ini apabila menghasilkan kain rentang helang gergasi hasil sentuhan kreatif 'Kak Don'.

Kak Don atau nama sebenarnya Norzaimiza Zainon merupakan pelukis utama kain rentang berukuran 12 meter itu.

Berkonsepkan logo Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), proses menghasilkan kain rentang itu bermula Ahad lalu hasil gabungan Kelab Penyokong Ladies Kedahan dan Kelab Penyokong Daerah Sik.

"Yang menghasilkan kain rentang ini adalah kami satu kumpulan, lebih kurang dalam 30 orang, tetapi ramai yang hadir ketika hari pertama kami mula melukis.

"Kami melakukan persediaan ini setiap hari tetapi hujan kadang kala menjadi penghalang. Kami menjangkakan kain rentang akan siap dalam dua hari," jelas Kak Don.

Sementara itu, penyokong-penyokong Kedah mengharapkan pasukan kesayangan mereka mampu untuk membawa pulang Piala Malaysia pada tahun ini selepas gagal melakukannya pada tahun lalu.

"Saya mengharapkan Kedah bakal muncul juara dan membawa pulang Piala Malaysia tahun ini," ujar salah seorang penyokong Daerah Sik.

Harapan yang sama dikongsi oleh penyokong Ladies Kedahan yang mahu menyaksikan piala itu dibawa pulang.

"Harapan saya agar Kedah terus maju dan menang Piala Malaysia untuk musim ini," katanya.