Insiden membabitkan kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim, selepas final Piala Malaysia 2017 adalah antara situasi yang dipercayai kesan daripada impak media sosial.

Safiq, yang membantu skuad Harimau Selatan merangkul Piala Malaysia, melepaskan geram sebagai tanda reaksi balas kepada netizen yang mengkritiknya.

"Piala Malaysia sudah berakhir. Ia telah menjadi sejarah buat saya dan JDT," kata Safiq.

"Sebelum ini, orang sering memberikan pandangan yang negatif terhadap saya, pasukan dan sebagainya."

Daripada aspek psikologi, pakar berpendapat pengaruh media sosial mampu mendorong kepada ketidaketentuan fikiran pemain dan ia boleh dielak jika mereka bijak menilai sesuatu perkara.

"Walaupun seorang atlet itu terkenal, mereka mungkin memiliki perwatakan yang impulsif -- perwatakan sering kali tidak berfikir panjang," kata pakar perunding psikiatri Universiti Malaya, Dr Muhsin Ahmad Zahari.

"Mereka lebih cenderung untuk bertindak secara negatif terhadap sesuatu perkara itu. Jadi, psikologi sukan merupakan sesuatu aspek yang penting buat atlet."

Dalam konteks itu, Safiq berjaya membuktikan segala kritikan netizen terhadapnya adalah salah walaupun ia telah mengganggu emosi pemain ini.

Dan impak media sosial juga telah meningkatkan populariti Safiq untuk dipilih menjadi duta jenama sukan terkenal dan beberapa produk.

Safiq kini antara pemain tempatan berpengaruh dalam media sosial berdasarkan pengikutnya di instagram.

"Walaupun di sebalik apa yang berlaku, saya cuba mengambil perkara ini secara positif," kata Safiq.

"Saya memiliki pengikut daripada semua lapisan umur dan saya amat berbangga kerana dapat menjadi duta kepada beberapa produk tersebut."

Kini, tampak sudah tiba masanya juga buat jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mencanangkan pendekatan larangan media sosial terhadap pemain agar mereka mampu memberi 100 peratus komitmen di atas padang.

"Mungkin perkara ini dapat dipertimbangkan jika ia mampu menjejaskan prestasi pemain kerana tumpuan penuh amat diperlukan pemain-pemain bagi menghadapi perlawanan," kata Cheng Hoe.

Benar, media sosial adalah pemudah cara kepada pemain bola sepak untuk bersosial, namun impaknya mampu mendatangkan keburukan kepada diri sendiri kerana emosi adalah perkara yang subjektif untuk dibicara, justeru hanya kebijaksanaan mengawalnya adalah kunci utama kepada permasalahan ini."