Cabaran pemain bola sepak masa ini sememangnya lebih sukar berbanding zaman dahulu susulan wujudnya media sosial yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan sekarang.

Impak media sosial itu sendiri telah mencetuskan kebimbangan kepada pembangunan mentaliti dan fokus semasa seseorang pemain.

Selaku atlet sukan berpengaruh, pemain bola sepak masa ini bukan sahaja berdepan cabaran dalam padang tetapi juga di luar padang. Ini kerana wujudnya alat yang menghubungkan mereka terus dengan orang awam iaitu media sosial. Sama ada facebook, twitter atau pun instagram, impak media sosial itu sendiri dilihat mampu mempengaruhi minda seseorang pemain.

"Pemain-pemain sekarang bukan seperti yang terdahulu, dengan adanya media sosial seperti instagram, twitter dan facebook -- pemain-pemain kerap membaca komen-komen yang negatif, menjadikan mereka panik dan gagal memberikan tumpuan ketika beraksi. Sebab itu saya telah menasihatkan kepada mereka supaya tidak melayan media sosial," kata pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Larangan penggunaan media sosial terhadap pemain pernah dilakukan beberapa kelab ternama dunia.

Sebuah akhbar di England pada September 2017 melaporkan jurulatih Manchester City, Pep Guardiola, mengeluarkan peraturan melarang penggunaan media sosial untuk pemainnya di venue latihan.

Larangan keras penggunaan media sosial kepada pemain juga menjadi antara rahsia kejayaan Thailand memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pendekatan itu dilihat sebagai langkah pencegahan pemain mereka terdedah dengan komen netizen di laman media sosial yang dikhuatiri menjejaskan persembahan di atas padang.

"Media sosial adalah hos paling cepat dan segera dan memberi impak besar kepada pemain bola sepak.

"Telefon ini adalah gangguan kepada kehidupan kita, namun ia juga menyediakan kemudahan," kata pensyarah kanan Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Sadek Mustafa.

Mengimbas cabaran pemain bola sepak dahulu, mereka juga tidak boleh lari daripada kritikan peminat jika beraksi hambar dalam sesuatu perlawanan, namun, bezanya mereka tidak terdedah dengan kecaman di alam maya seperti yang berlaku sekarang.


"Ada baik dan buruk," kata penjaga gol JDT, Ifzam Tarmizi.

"Terpulang kepada individu macam mana nak kawal media sosial.

"Tanggapan setiap manusia berbeza, ada yang boleh terima dan tidak," ujar pemain Kuala Lumpur, Zaquan Adha Abdul Radzak.

"Pada awalnya, saya menghadapi tekanan jugalah kerana media sosial ini.

"Sebagai pemain bola sepak, setiap perkara yang kami lakukan mudah menjadi tular," kata penyerang Negeri Sembilan, N. Thanabalan.

"Saya ambil pendekatan positif sahaja tentang media sosial, tidak perlu mengungkit kisah lama.

Tidak perlu melatah dan ambil negatif, ia akan menjejaskan karier pemain," ujar pemain tengah JDT, Safiq Rahim.

"Zaman sekarang dan dulu memang berbeza.

"Kalau gagal beraksi baik, kami berdepan dikecam penyokong.

"Jika pemain beraksi baik, mereka akan mendapat pujian seterusnya menjadikan mereka bertambah semangat," ujar jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

"Zaman sekarang lebih mencabar, aplikasi Whatsapp tidak putus-putus.

"Justeru, pemain pada era saya lebih fokus terhadap kerjaya mereka," kata bekas pemain Pahang, Zulhamizan Zakaria.