Pengendali England, Gareth Southgate, menjelaskan tidak sukar untuk memilih Raheem Sterling dalam kesebelasan utama sewaktu menundukkan Nigeria, awal pagi tadi.

Bintang Manchester City itu berdepan kritikan baru-baru ini selepas memiliki tatu gambar senapang rifle pada kakinya sebelum lewat melaporkan diri ke kem pasukan.

Bagaimanapun, dia tetap dipilih Southgate dan mempamerkan aksi memukau walaupun dilayangkan kad kuning kerana sengaja menjatuhkan diri.

Selepas pasukannya menundukkan Nigeria hasil daripada jaringan Gary Cahill dan Harry Kane, Southgate menjelaskan pendedahan media yang negatif membuatkannya lebih mudah untuk menurunkan Sterling.

"Saya berdepan pilihan sama ada mahu menurunkannya atau tidak selepas dia lewat menyertai pasukan tetapi itu tidak menjadi satu masalah," katanya.

"Apa yang penting adalah saya perlu mengawasi pemain-pemain dalam masa enam minggu seterusnya selepas ini. Mereka menghormati antara satu sama lain dan bekerjasama.

"Sebagai seorang pengurus, anda perlu sentiasa bersikap seimbang. Jadi untuk Sterling, saya gembira melihat prestasinya.

"Secara keseluruhan, pemain yang diturunkan nyata tidak mengecewakan dengan aksi yang berdisiplin."