Penyerang Borussia Dortmund, Emre Mor, berkata dia memasang impian untuk bermain dalam skuad Real Madrid suatu hari nanti.

Pemain antarabangsa Turki itu menyertai kelab Bundesliga berkenaan, Jun lalu, dan telah membuat 15 penampilan bersama Dortmund dalam semua pertandingan musim ini.

Bagaimanapun, Mor, 19, menyasarkan cita-cita lebih tinggi, mempercayai dia mempunyai potensi untuk menjadi bintang dalam skuad Real atau musuhnya, Barcelona, dalam LaLiga, suatu hari nanti.

"Dortmund adalah salah sebuah pasukan terbaik di dunia," katanya kepada Hurriyet. "Banyak yang saya belajar.

"Saya mahu bermain untuk Real Madrid, untuk menjadi bintang. Impian terbesar saya adalah untuk menyarung jersi Real Madrid suatu hari nanti walaupun ia agak terlalu awal untuk melakukannya.

"Saya tahu diri saya dan saya rasa saya boleh bermain untuk Barcelona, juga. Bila? Saya tidak tahu lagi."

Mor telah menyumbang satu gol untuk Dortmund musim ini dan menjaringkan gol antarabangsa pertamanya ketika Turki menentang Moldova, kelmarin.