Bekas pemain kebangsaan Sepanyol, Gaizka Mendieta, mengakui pengambilan pemain naturalisasi perlu dilihat daripada sudut positif walaupun langkah itu mengehadkan peluang pemain tempatan untuk beraksi.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi programnya kini sibuk mengenal pasti calon terbaik untuk dijadikan pemain naturalisasi kedua negara selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh, mula menyarung jersi skuad Harimau Malaya dalam Piala Suzuki AFF tahun lalu.

Tatkala beberapa nama sudah disenarai pendek, langkah badan induk itu mengundang kerisauan peminat, terutama mengenai pelan jangka panjang yang dirasakan akan menjejaskan peluang pemain tempatan, namun pandangan berbeza disuarakan bekas pemain Valencia berkenaan.

"Kami pernah memilikinya di Sepanyol. Kami pernah memiliki pemain dari Brazil.

"Ia sesuatu yang boleh berlaku dan saya tidak nampak mengapa ia tidak boleh berlaku.

"Ia akan memanfaatkan kedua-dua pihak, namun idea itu perlu disertai dengan pembangunan akar umbi," katanya.

Mendieta merupakan antara legenda LaLiga yang memeriahkan Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia (WFS), yang kali pertama diadakan di Asia, di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, hari ini.

Program selama dua hari itu diadakan di ibu negara dengan mendapat sambutan 2,000 peserta dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, turut diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucapan pembukaan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkongsi perkembangan terbaru mengenai pengambilan pemain warisan negara setelah kempunan untuk mendapatkan penyerang Terengganu FC, Lee Tuck.

"Saya ada perjumpaan dengan ejen yang mengatakan dia mempunyai lima pemain berstatus warisan yang bermain di luar Malaysia.

"Dia berada di Eropah dan mempunyai maklumat yang kami tiada.

"Disebabkan terdapat sumber-sumber mengenai skuad kebangsaan, saya bersetuju untuk mengadakan perjumpaan itu," katanya.