Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mendedahkan seramai 11 pemain muda akan dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat bulan depan bagi menghadapi perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan, 27 Mac ini.

Cheng Hoe menjadikan aksi awal Liga Malaysia pada musim ini sebagai platform buat dirinya untuk mengenal pasti pemain yang akan dipanggil menyarung jersi skuad negara bagi perlawanan di Beirut itu.

Selain memantau kelibat pemain senior, bekas jurulatih Kedah itu juga menilai prestasi beberapa pemain muda negara, terutama mereka yang beraksi dalam Kejohanan AFC B-23 di China, bulan lalu.

Walaupun ada dalam kalangan mereka gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama bersama pasukan negeri atau kelab masing-masing, kepercayaan Cheng Hoe terhadap beberapa pemain terbabit tampak tidak terjejas.

"Kemungkinan besar walaupun mereka tidak dapat membarisi kesebelasan utama, mereka telah bermain dalam babak kedua dan itu mampu membuatkan mereka meraih tempat dalam skuad kebangsaan nanti.

"Hampir 10 hingga 12 pemain yang mungkin dipilih selepas perbincangan bersama barisan jurulatih diadakan," kata Cheng Hoe.

Ketika ini, dua tonggak, iaitu Irfan Zakaria dan Syazwan Andik Mohd Ishak adalah antara pemain muda yang sedang bergelut untuk merebut tempat dalam skuad utama Kuala Lumpur dan Cheng Hoe mengesahkan bayangan pemain mudanya turut terdiri daripada mereka yang tidak mewakili skuad B-23 negara.

"Mereka dilihat mampu menggalas tugas dalam pasukan kebangsaan. Ia bukan mudah tetapi kami di barisan kejurulatihan yakin dengan kemampuan mereka," ujarnya lagi.