Ketua Unit, Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Nishel Kumar, merancang untuk menjalankan ujian terhadap semua pemain yang menyertai kejohanan di bawah kendalian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), termasuk Liga Super, musim depan.

Sudah tiba masa untuk Adamas menyelaraskan ujian terhadap semua persatuan sukan kebangsaan, bagi memudahkan proses pengumpulan data dan memastikan ujian lebih tersusun.

Adamas mengendalikan semua ujian doping di Malaysia kecuali bola sepak.

Oleh itu, Nishel berpendapat tahun depan adalah masa paling sesuai untuk bekerjasama dengan FAM.

"Pertama sekali, saya mahu memberitahu bahawa sekarang ini, FAM pun sudah buat banyak ujian. Cuma, saya fikir, pada rancangan tahun depan, saya akan bekerjasama dengan FAM. Mungkin berbincang dengan mereka untuk mempertingkatkan lagi ujian doping.

"FAM mempunyai banyak kejohanan dan Adamas akan masuk serta tingkatkan lagi ujian itu," katanya.

Pada tahun ini, 14 kes positif doping telah dikesan dan ia menjadi jumlah kedua tertinggi selepas 2014 dengan 16 kes.

Bola sepak mencatat dua kes, masing-masing membabitkan pemain Perak dan PDRM.

Dalam pada itu, Adamas juga sudah menggerakkan usaha menjelang Sukan sea Kuala Lumpur 2017 apabila menguji lebih 30 sampel atlet program Kita Juara.

"Dalam program Kita Juara, saya fikir ia melibatkan 800 atlet. Mereka akan mewakili negara dalam Sukan Sea tahun depan. Dalam 10 bulan yang kami ada ini, kami mahu mulakan dari sekarang untuk membuat ujian itu."

Syafiq Jamal dan Firdaus Saiyadi, yang masing-masing dari pasukan PDRM dan Perak disahkan mengambil dadah perangsang dan digantung selama dua tahun.

Kali terakhir kes doping membabitkan pemain bola sepak berlaku pada 2013.