Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, menegaskan kelebihan rehat lebih sehari berbanding Korea Selatan tidak menjanjikan sebarang peluang mudah buat pasukannya untuk menandingi lawan apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi suku akhir Kejohanan AFC B-23 di Stadium Kunshan, esok.

Skuad negara menamatkan saingan peringkat kumpulan Selasa lalu, sehari lebih awal daripada Korea Selatan dan situasi itu dilihat mampu memberikan kelebihan rehat buat pemain negara untuk melakukan proses pemulihan kecederaan berbanding gergasi Asia itu.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak berasakan faktor itu akan menjadi senjata utama negara walaupun lawan terpaksa berhempas-pulas dalam aksi terakhir bertemu Australia, Rabu lalu.

"Kami mempunyai kelebihan sehari tetapi tidak bermakna ia memberikan peluang yang baik. Pemain-pemain harus kekal fokus kerana kali ini akan berdepan pasukan yang memiliki pengalaman luas," katanya.

Sebelum ini, Kim Swee pernah membawa skuad B-23 negara bertemu lawan sama ketika beraksi di pentas Sukan Asia Incheon 2014, namun tewas 0-3 dalam aksi peringkat kumpulan.

"Korea Selatan mempunyai pengalaman daripada segi fizikal dan taktikal. Bukan hanya melibatkan kejohanan ini tetapi mereka tidak memiliki sebarang kekurangan dalam setiap peringkat umur."