"Pengajaran berguna untuk kami," demikian reaksi pengurus skuad bola sepak PDRM, Mubin Mokhtar, setelah pasukan itu diberi peluang kedua oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) untuk tidak dikenakan tindakan memotong mata susulan gagal melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia 2018.

FMLLP menerusi Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam mengumumkan 10 pasukan dikenakan penangguhan hukuman pemotongan mata.

Ia berikutan kegagalan pasukan terbabit melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan Liga Malaysia 2018, dengan PDRM antara empat pasukan Liga Perdana yang gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, Mubin mengakui peluang itu membolehkan skuad The Cops melengkapkan segala dokumen berkaitan dalam masa terdekat, sekali gus memastikan moral pasukannya tidak terjejas bagi meneruskan cabaran Liga Perdana.

"Saya berterima kasih bagi pihak PDRM di atas peluang yang diberikan oleh FMLLP dan dalam masa sama, kami akan perbaiki segala kelemahan sebelum ini.

"Ia telah memberikan pengajaran terbaik untuk PDRM dan kami akan menyelesaikannya secepat mungkin," kata Mubin.

Menurut FMLLP, penangguhan hukuman pemotongan mata itu dikenakan sehingga pendaftaran Liga Malaysia musim depan tetapi 10 pasukan itu diberi tempoh selama 14 hari untuk membuat rayuan berkaitan denda.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, menerusi satu kenyataan semalam memberi ucapan terima kasih kepada FMLLP setelah diberi peluang kedua.

Bibi mengesahkan beliau sendiri akan mengambil alih tanggungjawab kakitangannya untuk melengkapkan dokumen pendaftaran itu agar skuad The Red Warriors tidak dikenakan hukuman pemotongan mata.

"Terima kasih kepada pihak FMLLP kerana masih memberi ruang dan peluang kepada Kelantan yang menjadi antara pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran pasukan musim ini.

"Dalam memastikan dokumen yang diperlukan betul-betul lengkap, saya sendiri akan mengambil alih tanggungjawab itu daripada kakitangan yang terbabit (sebelum ini) supaya dapat betul-betul pastikan apa yang belum ada.

"KAFA akan memberi kerjasama sebaik mungkin supaya pasukan Kelantan tidak dikenakan apa-apa tindakan yang mana beberapa kali peluang sudah diberikan FMLLP," katanya..

Pasukan yang dikategorikan gagal melengkapkan dokumen pendaftaran adalah Kelantan, Kuala Lumpur, Kuantan FA, PDRM, Pulau Pinang dan Sarawak.

Sementara itu, Selangor, PKNS FC, MISC-MIFA dan UKM FC pula adalah skuad yang lewat menghantar dokumen pendaftaran pasukan.