Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyifatkan pemilihan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selaku presiden baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai satu permulaan ke arah mengembalikan kegemilangan skuad negara di persada antarabangsa.

Menurut presidennya, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, tiada individu yang lebih layak memegang tampuk kepimpinan badan induk bola sepak negara selain daripada TMJ berdasarkan kejayaan dilakar pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak kebelakangan ini.

“Semua pihak mengharapkan barisan baru FAM ini dapat menyuntik semangat luar biasa, terutama dalam memartabatkan liga kebangsaan dan pasukan negara.

“Tunku (Ismail) adalah individu yang paling tepat untuk menduduki kerusi tertinggi FAM dan PBSNT sentiasa bersedia untuk bekerjasama pada masa hadapan.

“Cadangan Tunku untuk mengadakan Mesyuarat Exco FAM di setiap negeri juga adalah langkah yang baik.

“Kami mengalu-alukan keputusan seumpama itu kerana masing-masing dapat bertukar pendapat selain melihat dengan lebih dekat dan seterusnya memberi pandangan berkenaan kemudahan yang diperlukan,” katanya.

Untuk pertemuan suku akhir pertama Piala FA menentang Sarawak, 1 April ini, Ahmad Razif menuntut skuad Sang Penyu meneruskan kemaraan bagi membuktikan mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Perlawanan ini sangat penting kerana Terengganu kini di landasan tepat untuk meraih kejuaraan, musim ini.

“Di bawah kendalian pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, kami juga kini di kedudukan kedua Liga Perdana dan perlu segera kembali ke Liga Super.

“Kejayaan itu sangat diperlukan untuk membalas kepercayaan penyokong yang sentiasa bersama dan memberikan sesuatu untuk dirai rakyat negeri ini,” tambahnya.

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian selepas majlis minum petang PBSNT bersama penyokong, penaja dan media di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu, semalam.