"Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) kini dikenali sebagai Malaysia United".

Itu perkara pertama yang dilakukan Mohd Firdaus Mohamed selepas dipilih sebagai presiden baru PBMM susulan memenangi pemilihan jawatankuasa eksekutif penggal 2019-2021 dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu, hari ini.


Pemilihan jawatan presiden PBMM yang baru menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Firdaus dan bekas pemangku presiden, Ishsam Shahrudin.

Ia susulan penyandang kerusi nombor satu, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat, memutuskan untuk memberikan laluan dan menolak pencalonan semula.

Memegang status ahli jawatankuasa eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Firdaus selaku timbalan presiden PBMM untuk penggal terdahulu muncul pemenang dengan 19 berbalas lima undi.

"Kami mahu melakukan penjenamaan semula nama PBMM kepada Malaysia United dan kami mencapai persetujuan untuk menggunakan nama baru buat persatuan ini," kata Firdaus.

Langkah awal diambil Firdaus sebaik menerajui tampuk kepimpinan PBMM adalah menjenamakan semula nama persatuan itu sebagai menyahut seruan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Kami mengambil langkah ini untuk mengetepikan sebarang unsur-unsur perkauman dan mahu memperkasakan persatuan ini sebagai langkah untuk maju ke hadapan."

Barisan penuh kepimpinan PBMM-Malaysia United.

PRESIDEN
• Mohd. Firdaus Mohamed

TIMBALAN PRESIDEN
• Datuk Ramlan Askolani

NAIB PRESIDEN
• Ku Besry Ku Aziz
• Nudin Awang
• Omar Hamzah
• Zamri Mazleh