Persatuan Bolasepak Felda Wilayah (PBFW) Alor Setar muncul juara Piala Pengerusi Felda selepas menewaskan PBFW Kuantan 3-1 dalam final di Stadium Mini Pancarona, Putrajaya, semalam.

Aksi yang berlangsung dalam cuaca panas itu menyaksikan Kuantan membuka tirai jaringan seawal minit ketiga hasil sepakan penalti selepas bola terkena tangan ketua pasukan Alor Setar, Mohd Fikri Rodzi.

Ketua pasukan Kuantan, Ahmad Rosdi Abdul Jnah, yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan Firdaus Che Ani untuk Kuantan mendahului 1-0.

Namun, jaringan itu tidak mematahkan semangat Alor Setar yang sebaliknya bangkit untuk menguasai perlawanan, sekaligus memaksa Kuantan lebih banyak bertahan.

Kuantan harus berterima kasih kepada penjaga golnya, Mohd Firdaus Bolkiah, yang menyelamatkan dua percubaan berbahaya lawan.

Bagaimanapun, Firdaus tertewas juga pada minit ke-35 menerusi tandukan terbang Mohd Ikmal Faiz Azmi hasil hantaran lintang Akmal Ismail.

Separuh masa kedua menyaksikan Alor Setar terus menguasai perlawanan dan sekali lagi Ikmal serta gandingannya, Rosmawadi Othman, sentiasa mengucar-kacirkan benteng Kuantan.

Hasilnya, Ikmal berjaya meletakkan Alor Setar di depan dengan gol kedua pada minit ke-62.

Ikmal melengkapkan hatriknya yang juga gol ketiga Alor Setar pada minit ke-82 untuk meranapkan impian Kuantan kembali memberi tentangan.

Kejayaan menumbangkan Kuantan itu membolehkan Alor Setar membawa pulang Piala Pengerusi dan wang tunai RM30,000, manakala naib juara meraih RM15,000.

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, dan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Edisi keempat kejohanan itu membabitkan 11 pasukan dari tanah rancangan Felda di seluruh negara serta pasukan Akademi Bolasepak Felda (ABF) yang bermula sejak Mei lalu.