Bintang Shanghai SIPG, Oscar, digantung lapan perlawanan di atas peranannya mencetuskan pergaduhan antara pemain ketika bertemu Guangzhou R&F dalam saingan Liga Super China (CSL), serta didenda ASD5,000 (RM21,453).

Bekas perancang Chelsea itu telah melepaskan rembatan liar ke arah dua pemain pasukan lawan pada penghujung separuh masa pertama dan ia menjadi punca pemain-pemain Guangzhou berang dengan pemain kebangsaan Brazil itu.

Di atas insiden yang berlaku, pengadil terpaksa melayangkan kad merah kepada Li Tixiang [Guangzhou] dan Fu Huan [Shanghai], manakala Oscar terlepas daripada sebarang hukuman di atas perlakuannya.

Tetapi pemain berusia 25 tahun itu kini tidak akan beraksi sehingga 13 Ogos selepas menerima hukuman penggantungan lapan perlawanan.

"Oscar merupakan pemain pertama yang mencetuskan insiden pergaduhan di antara pemain-pemain Guangzhou dan Shanghai.

"Dia telah memberikan satu impak yang negatif kepada bola sepak profesional China," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak China (CFA).

"Diharapkan hukuman ini akan memberi kesedaran kepada setiap pasukan yang bersaing bagi memastikan ia tidak akan berlaku di masa akan datang."