Pemain skuad B-23 tahun negara, Nik Akif Syahiran, mengakui berdebar menanti senarai 26 pemain ke Mokpo, Korea Selatan tatkala Hadi Fayyadh Abdul Razak bertekad memanfaatkan sepenuhnya latihan minggu terakhir di Kuala Lumpur untuk dipilih ke fasa seterusnya.

Pengendali skuad B-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, semalam mengesahkan tiga pemain akan digugurkan daripada senarai 29 pemain.

Ia selepas aksi persahabatan menentang Melaka di Stadium Shah Alam, Khamis ini, bagi pemilihan seterusnya di Mokpo dan Nanjing, China dari 17 Disember hingga 6 Januari depan.

Hadir daripada skuad B-19 tahun negara, Nik Akif yang beraksi di posisi tengah dan Hadi Fayyadh selaku penyerang mengakui berharap berada dalam radar Kim Swee untuk terpilih dalam senarai 26 pemain.

"Saya sangat gembira kerana dapat terus berada dalam skuad dan masih berpeluang untuk ke Korea," kata Hadi.

"Ini merupakan kali pertama saya bersama skuad B-23, saya berharap terpilih untuk beraksi di Mokpo," kata Nik Akif.

Buat masa ini, hanya seorang pemain yang telah digugurkan oleh Kim Swee, iaitu Danial Ashraf Abdullah yang mengalami kecederaan belakang.

Situasi ini membuka peluang buat Nik Akif untuk menyertai kunjungan pasukan ke Korea dan China.