Pemain tengah skuad bawah 23 tahun negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat, menyifatkan pengalaman beraksi dalam Kejohanan AFC B-23 di China sebagai bekalan terbaik buat dirinya untuk menghadapi Kejohanan AFC B-19 di Indonesia, Oktober depan.

Nik Akif adalah antara lima pemain skuad B-19 Malaysia yang terpilih mewakili negara untuk kejohanan di China itu.

Bertindak selaku perancang tengah, pemain kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu antara pemain simpanan yang berjaya memikat jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Dia diturunkan sebanyak dua kali, namun paling mencuri tumpuan ketika diletakkan dalam kesebelasan utama berdepan Korea Selatan di peringkat suku akhir.

Meskipun gagal menampilkan persembahan terpuji, Nik Akif tetap mengakui peluang itu menjadi pengalaman berharga untuk beraksi dalam Kejohanan AFC B-19 nanti.

"Ini kali pertama saya menyertai skuad B-23. Saya dapat banyak pengalaman, termasuk daripada segi taktikal. Apabila saya menyertai skuad B-19 nanti, saya akan berikan semangat dan berjuang habis-habisan," katanya.

Selain misi ke kejohanan itu, Nik Akif yang pernah mewakili skuad remaja futsal negara juga berharap untuk terus mewakili skuad bawah 23 tahun negara bagi tugasan seterusnya, Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

"Saya harap saya dipanggil sekali lagi dan beraksi lebih lagi dalam pasukan B-23," katanya lagi.