Bojan Hodak mengesahkan Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Akhyar Rashid kekal membarisi skuad B-19 negara ke Kejohanan AFC B-19 di Jakarta apabila kedua-dua pemain kembali bersama pasukan selepas selesai tugasan bersama skuad senior dalam aksi persahabatan berdepan Kyrgyzstan, malam tadi.

Pengendali kelahiran Croatia itu telah mengeluarkan senarai 23 pemain yang bakal membarisi skuad Malaysia dalam Kejohanan AFC B-19 2018 di Indonesia yang bermula esok

Hodak turut memberikan perkhabaran positif apabila dua tonggak muda, Nik Akif dan Akhyar, akan menyertai pasukan di Jakarta selepas tamat aksi persahabatan skuad senior negara yang tewas 1-0 di Stadium Hang Jebat, semalam.

"Nik Akif dan Akhyar sedang berehat selepas menghadapi perlawanan bersama skuad senior negara semalam. Mereka akan menyertai pasukan ke Jakarta dan bersedia untuk menghadapi Kejohanan AFC bersama skuad B-19 negara," katanya.

Skuad B-19 negara, yang diundi dalam Kumpulan D, akan memulakan kempen berdepan Arab Saudi, Sabtu ini, diikuti aksi menentang Tajikistan tiga hari berikutnya.

Imej: Asiana