Gareth Southgate teruja melihat cabaran England menjelang Piala Dunia selepas mengatasi Nigeria yang meningkat secara mendadak dalam babak kedua.

England bertemu Nigeria di Wembley, awal pagi tadi, yang menyaksikan dominasi penuh skuad The Three Lions yang menang 2-1 menerusi jaringan Gary Cahill dan Harry Kane.

Bagaimanapun, pelawat bangkit dengan corak permainan menarik dalam babak kedua sehingga mampu mendekatkan kedudukan menerusi jaringan pemain Arsenal, Alex Iwobi.

England dilihat mampu mengekang lawan sambil mengekalkan tempo permainan, sekali gus membuatkan Southgate gembira melihat situasi itu.

"Saya rasa kami bermain dengan baik, terutama dalam mencipta peluang terbaik, menjadi satu perkembangan yang sangat baik dalam beberapa perlawanan," katanya.

"Kami sepatutnya meraih beberapa gol sebelum tamat separuh masa pertama. Lawan telah mengubah pendekatan dalam babak kedua, melakukan sistem baru sehingga kami memerlukan masa untuk cuba menahan kemaraan mereka.

"Apa yang boleh dilihat adalah kami dapat menyesuaikan diri dengan tekanan serta keadaan baru di atas padang, jadi ia menjadi satu medan ujian yang terbaik buat kami."

Dalam masa yang sama, Southgate juga melahirkan rasa gembira dan lega apabila melihat prestasi empat pemain yang dipertaruhkan di barisan depan, iaitu Kane, Dele Alli, Raheem Sterling dan Jesse Lingard.

"Sterling beraksi dengan baik. Barisan depan menunjukkan beberapa pergerakan yang hebat. Alli dan Lingard mempamerkan larian tanpa mementingkan diri sendiri.

"Apa yang boleh diperkembangkan adalah daya melakukan keputusan apabila berada di kawasan gol lawan kerana kami mampu menjaringkan lebih banyak gol."

England akan menentang Costa Rica di Elland Road dalam satu lagi aksi pemanas badan pada awal pagi Jumaat sebelum memulakan saingan Piala Dunia 2018 bertemu Tunisia pada 18 Jun.