Bekas bintang Barcelona, Hristo Stoichkov, tidak berasakan Neymar akan meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) untuk ke Real Madrid.

Bintang Brazil itu dikaitkan dengan perpindahan mengejut untuk kembali ke Sepanyol pada penghujung musim ini walaupun baru sahaja berhijrah ke Paris menerusi yuran perpindahan rekod dunia.

Spekulasi menular bahawa dia tidak dapat menyesuaikan diri di Perancis sehingga menimbulkan desas-desus dia akan menyertai Los Blancos yang dikhabarkan mahu berbelanja besar bagi menghadapi musim depan.

Bagaimanapun, Stoichkov, yang pernah memenangi lima kejuaraan LaLiga ketika di Camp Nou, tidak dapat melihat sebarang kemungkinan untuk Neymar pergi ke musuh ketat Barca itu.

"Saya tidak nampak dia akan beraksi untuk Real Madrid.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya atas apa sahaja yang dilakukan tetapi tidak percaya dia mampu memenangi kejuaraan seperti yang diraih ketika bersama Barca," katanya.

Real Madrid kini ketinggalan 19 mata di belakang Barca yang mengungguli carta liga dan masa depan pengendali, Zinedine Zidane, berada dalam bahaya sekiranya tewas dalam aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang PSG, Rabu depan.

Bagi Stoichkov, Los Blancos melakukan kesilapan sekiranya memecat legenda Perancis itu.

"Kadangkala, dalam bola sepak anda terpaksa menanggung keperitan.

"Tiada siapa yang meragui kebolehan Zidane dan dia harus kekal sabar. Tiada siapa yang boleh meragut kejuaraan yang telah dimiliki," tambahnya.