Neymar berkemungkinan kembali beraksi bersama Brazil dalam aksi persahabatan berdepan Croatia awal bulan depan menjelang persiapan menghadapi Piala Dunia.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu diketepikan sejak Februari lalu selepas menjalani pembedahan akibat patah tulang metatarsal.

Keraguan menyelubungi Neymar yang dijangka tidak sempat pulih sebelum saingan Piala Dunia, di mana Brazil diundi berdepan Switzerland, Costa Rica dan Serbia dan Kumpulan E.

Selepas Brazil menyenaraikan skuad 23 pemain semalam, pegawai perubatan pasukan, Rodrigo Lasmar, mendedahkan Neymar semakin pulih dan mungkin dapat beraksi berdepan Croatia di Anfield pada 3 Jun ini.

"Kami membuat penilaian mengenai Neymar dan dia sedang berkembang dengan baik," katanya.

"Dia akan mula menjalani latihan dan sasaran kami dia boleh mula berlatih dengan bola dan cuba melakukan jaringan."

Selepas berdepan Croatia, Brazil akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan dengan Austria pada 10 Jun sebelum perlawanan pembukaan Piala Dunia berdepan Switzerland.