Neymar gembira Brazil tidak akan berdepan Lionel Messi ketika bertemu Argentina di Arab Saudi, awal pagi esok.

Messi tidak tersenarai dalam skuad Lionel Scaloni itu buat kali kedua berturut-turut selepas mengharungi saingan Piala Dunia yang mengecewakan, Julai lalu.

Neymar mengakui ketiadaan bekas rakan sepasukan Barcelona itu merupakan tamparan buat peminat yang mahu menyaksikan perlawanan tetapi berasakan ia telah membuka ruang untuk Brazil mengatasi Argentina.

Bagaimanapun, bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu menegaskan Argentina masih lagi dibarisi pemain-pemain berkualiti, dengan mengambil contoh kualiti yang dimiliki Paulo Dybala mampu memberikan ancaman kepada mereka.

"Kepada mereka yang menggemari bola sepak, ketiadaan Messi daripada perlawanan ini amat mengecewakan tetapi ia adalah peluang yang baik buat kami" kata Neymar.

"Kami tidak pernah memandang rendah kualiti Argentina, pemain-pemain yang dimiliki mereka amat berkualiti.

"Sebagai contoh, Dybala merupakan seorang pemain yang berbisa.

"Saya menjangkakan aksi yang sengit. Kami akan cuba melakukan tugas kami dengan sebaik mungkin. Tiada pasukan pilihan untuk perlawanan ini."