Bekas penyerang Manchester City, Alvaro Negredo, menyelesaikan perpindahannya ke Turki apabila membuat keputusan menyertai Besiktas.

Berdasarkan laporan, penyerang berusia 31 tahun itu bersetuju dengan kontrak yang akan mengekalkannya di Vodafone Arena selama tiga tahun.

Dia yang sebelum ini beraksi secara pinjaman untuk Middlesbrough dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim lepas bakal menyertai Pepe selepas pertahanan Portugal itu membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak di Real Madrid.

Negredo menjaringkan sembilan gol buat Boro dalam saingan musim 2016/17 tetapi tidak berjaya membantu pasukannya kekal bersaing dalam EPL musim depan.

Dia yang pernah menyarung jersi Valencia, Real Madrid dan Sevilla akan membantu skuad kendalian Senol Gunes untuk mempertahankan takhta liga selepas memenanginya pada musim lepas.