Terengganu dan Negeri Sembilan terus gah dalam saingan Liga Perdana apabila masing-masing mengekalkan rentak kemenangan memasuki perlawanan ketiga, musim ini.

Negeri Sembilan, yang beraksi selaku pasukan pelawat di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, mengatasi PDRM 2-1 manakala Terengganu mengekalkan rekod bersih di laman sendiri apabila menumpaskan Kuantan FA 2-0, malam ini.

Skuad kendalian Irfan Bakti terpaksa menunggu hingga babak kedua untuk meledak gol pembukaan menerusi Issey Nakajima Farran pada minit ke-48 sebelum kapten, Latif Suhaimi, meledak gol sulungnya musim ini pada minit ke-63.

Sementara itu, pertembungan di antara PDRM dan Negeri Sembilan di Paroi gagal menghasilkan sebarang gol pada babak pertama sehinggalah Dao Bakary meletakkan skuad kendalian Fauzi Pilus di depan pada minit ke-61.

Negeri Sembilan kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-73 hasil jaringan pemain import, Bruno Junichi.

Memasuki 10 minit terakhir, Faderin Kadir muncul wira buat Negeri Sembilan apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-84 perlawanan.

Keputusan itu meletakkan Negeri Sembilan gah di persada liga, berkongsi sembilan mata dengan Terengganu, yang menghuni tangga kedua dibezakan dengan jaringan.

Keputusan lain:

PKNP FC 0 KUALA LUMPUR 0

SABAH 2 ATM 5

MISC-MIFA 5 JDT II 3

UITM 2 PERLIS 2