Dua pemain muda negara, Nazirul Naim Che Hashim dan Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri, masing-masing mempunyai alasan mengapa skuad Harimau Malaya pulang dengan tangan kosong dari Buriram.

Nazirul, yang merupakan antara pemain membarisi kesebelasan utama negara, mahu jurulatih, Nelo Vingada, terus diberi peluang untuk membimbing pasukan.

Katanya, Vingada sering kali kesuntukan masa dalam melakukan persiapan pasukan ekoran kepadatan jadual Liga Malaysia.

"Dia seorang jurulatih yang bagus dan tegas tetapi mungkin keadaan pemilihan pemain yang dimiliki sebelum dan juga ketika ini membuatkan dirinya tidak banyak pilihan.

"Mungkin apa yang dimahukan tidak dapat diterjemahkan oleh pemain-pemain di atas padang," kata pemain pertahanan itu.

Malaysia tewas masing-masing 1-4 dalam dua perlawanan menentang Korea Utara dalam Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand.

Sementara itu, Khairil Anuar yang membuat penampilan pertama malam tadi, mengakui dia serta rakan-rakan lain masih memerlukan masa untuk mengikut rentak di peringkat antarabangsa.

"Bila beraksi dalam Liga Malaysia, kami mempunyai masa untuk melihat rakan sepasukan selepas memegang bola.

"Di peringkat antarabangsa, permainan sangat laju. Jadi, setiap pemain perlu pantas berfikir sebelum mendapatkan bola agar tidak mudah kehilangan penguasaan," katanya.

Kemenangan ke atas Malaysia menyaksikan Korea Utara hampir pasti layak ke Piala Asia 2019 selepas berada di kedudukan kedua Kumpulan B dengan lapan mata.

Tanpa sebarang kemenangan, Malaysia akur di tangga tercorot dan seterusnya akan membuat kunjungan ke Lubnan pada 27 Mac tahun depan untuk melengkapkan jadual.