Calon naib presiden, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Shamsul Anwar Sulaiman, mengakui kuasa pemilihan terletak di tangan perwakilan untuk menentukan nasib semua calon yang bertanding, termasuk bagi jawatan presiden.

Debaran Kongres Pemilihan FAM kali ke-53 kian terasa selepas difahamkan ahli gabungan diarahkan untuk menetapkan perwakilan masing-masing kepada badan induk itu sebelum 17 Mac ini.

Ia bermakna, tiada pertukaran perwakilan boleh dibuat oleh ahli gabungan selepas tarikh itu.

Ketika ini, tular dalam media sosial senarai nama 39 perwakilan daripada 20 ahli gabungan yang akan membuat pengundian dalam pemilihan 25 Mac nanti.

"Ia bergantung kepada perwakilan itu sendiri untuk menentukan kepimpinan. Bukan sahaja terajunya tetapi juga barisan kepimpinan exco, termasuk timbalan presiden, naib presiden dan juga barisan exco," katanya.

Shamsul, yang juga Pengerusi Liga Bola Sepak Rakyat, menganggap dirinya hanya calon kerdil berbanding lapan calon lain, namun tetap positif untuk memenangi satu daripada empat kerusi yang dipertandingkan.

"Saya tahu, calon-calon naib presiden adalah terdiri daripada mereka yang hebat-hebat belaka. Ada antaranya presiden persatuan bola sepak negeri.

"Tetapi saya yakin dan percaya, saya juga mungkin ada peluang. Kalau diberi peluang oleh pihak perwakilan yang akan datang mengundi pada 25 Mac ini, mungkin kami akan dapat sama-sama berganding bahu." tambahnya.