"Keserasian jadi kunci utama kekuatan kami di bahagian pertahanan."

Itu kenyataan daripada pemain skuad B-19 negara, Nabil Hakim Bokhari, yang melihat kombinasinya dengan Syaiful Alias, Shivan Pillay Asokan dan Anwar Ibrahim sejak tahun lalu semakin mempamer peningkatan.

Pemain produk Piala Presiden Kuala Lumpur itu adalah pilihan utama di posisi pertahanan kiri selain Ahmad Tasnim Fitri Nasir.

Sudah menikmati pelbagai pengalaman sejak pusingan kelayakan AFC B-18, Nabil menjelaskan dia semakin selesa beraksi bersama Syaiful dan Shivan selain Anwar bertindak selaku pertahanan kanan.

Justeru, dia mengharapkan gandingan mereka berempat mampu dikekalkan sepanjang Kejohanan AFC di Bekasi, Indonesia bermula esok.

"Setiap perlawanan saya akan bersama dengan mereka, begitu juga ketika sesi latihan. Jadi, persefahaman memang ada.

"Kalau seluruh pasukan bertahan dengan baik, ia akan menjadi lebih mantap," ujar Nabil.

Ujian sulung menentang Arab Saudi esok pasti menjadi satu aksi berbeza buat Nabil yang menganggap aksi itu sebagai pentas tertinggi dalam kariernya.

Sudah mempersiapkan diri daripada segi mental dan fizikal, Nabil positif peluang untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata bukan misi mustahil.

"Gemuruh memang ada sebelum perlawanan tetapi apabila sudah berada di atas padang, ia akan dapat dikawal.

"Permainan Arab Saudi memang lebih laju dan saiz fizikal juga lebih besar tetapi ia bukan penghalang untuk kami."